Sunday, March 30, 2014

UNDI RINGGIT KUATKUASAKAN HALAL

March 18, 2014 at 9:53am
Rencana terbitan SINAR HARIAN dalam kolum “KHALIFAH BISNES’ bertarikh 17 Mac 2014.

Selama dua minggu berturut-turut kolum Khalifah Bisnes fokus kepada isu meningkatkan urusan penguatkuasaan halal.  Dua strategi baru dicadangkan untuk pertimbangan penguasa halal Malaysia.  Pertama, mendapatkan kerjasama syarikat korporat menubuhkan jabatan audit halal di peringkat syarikat masing-masing di bawah seliaan Jakim atau penguasa halal negeri. Dan kedua, pembentukan profesion audit halal swasta di bawah kelolaan HDC dengan memenuhi semua syarat dan kriteria yang ditetapkan pihak berkuasa halal negara dan negeri.

Kedua-dua pembaharuan strategi ini memerlukan dokongan undang-undang sebelum boleh dijayakan sepenuhnya.   Tujuannya ialah mengatasi kelemahan upaya di peringkat penguasa halal dengan menggunakan strategi atau kaedah yang tidak menambah kepada beban kewangan kerajaan.  Minggu ini kolum Khalifah Bisnes fokus kepada kaedah bagaimana pengguna Muslim boleh bersama bertindak menegakkan halal supaya tidak dipandang ringan atau diremehkan oleh golongan pekedai atau syarikat penjual tidak bertanggungjawab. 

Halal terlalu mudah dikompromi

Setelah saya menulis mengenai isu halal, beberapa sahabat menceritakan pengalaman masing-masing mengenai taraf halal sengaja dikompromi oleh golongan peniaga.  Salah satu yang menarik perhatian ialah bagaimana sebuah restoran milik bukan Muslim di Kuala Lumpur mengguna strategi menipu cara “kreatif” untuk mengatasi kelemahan bersaing tanpa sijil halal. 

Dilaporkan, restoran milik non-Muslim terbabit kalah bersaing dengan restoran di tempat sama milik operator Muslim yang jelas berjaya menarik minat pembeli kerana memiliki sijil halal yang sah.  Apa yang dilakukan kemudian oleh pemilik non-Muslim ini ialah menukar nama restorannya dan meletakkan ayat Basmallah di depan muka kedainya.  Sahabat saya memerhatikan semua pekerja lamanya yang terdiri daripada bukan Muslim dikekalkan.  Setelah itu, perniagaannya dilihat mendapat sambutan orang ramai, termasuk pengguna Muslim!   

Dalam kes ini, jelas sekali terdapat tindakan mengaburi mata pelanggan Muslim bertujuan melariskan langganan.  Tidak hairan jika ini mudah dilakukan oleh peniaga dan ahli bisnes tidak bertanggungjawab bertujuan mengambil kesempatan daripada kelemahan di peringkat penguatkuasaan halal.

Saya yakin banyak contoh lain cara helah atau tipu daya digunakan untuk mengaburi mata pengguna Muslim.  Dalam kolum sebelum ini pun telah saya sebutkan terdapatnya premis restoran mempamir dan menggunakan logo halal keluaran badan halal antarabangsa yang bukan autoriti halal tempatan.   Semua ini mudah terbiar berleluasa selagi pihak penguasa halal terhad keupayaan menguatkuasa dan pengguna Muslim pula tidak memandang berat untuk bertindak menentangnya.

Tiba masanya pengguna Muslim Malaysia menyedari hak mereka dan melihat halal sebagai satu hak asasi yang tidak wajar sama sekali dikompromi oleh sesiapa, terutama oleh penjual atau pemilik premis niaga rakus.  Pengguna Muslim juga tidak harus hanya mengharapkan penguasa halal mengambil tindakan memperbaiki semua bentuk pelanggaran syarat halal tanpa bertindak sendiri mengatasinya.  Di bawah sistem pasaran bebas, sewajarnya mereka sedar bahawa kuasa mutlak sebenarnya ada pada tangan mereka sebagai pengguna dan mereka tidak perlu hanya menantikan atau menharapkan tindakan pihak berkuasa.     

Sesungguhnya pengguna dan pembeli mempunyai tanggungjawab bersama untuk bertindak mengatasi kompromi halal oleh penjual yang langsung tidak mahu menghormati hak asasi pengguna Muslim tentang halal-haram.   Pengguna Muslim harus sedar pada tangan mereka terdapat kuasa atau “power” penguatkuasaan paling berkesan.  Kuasa atau “power” yang saya maksudkan ialah kuasa “undi ringgit” di tangan setiap pengguna dan pembeli. 

Perhatikan, “undi ringgit” seumpama undi politik yang boleh membawa perubahan kuasa pemerintahan politik.  “Undi ringgit” boleh digunakan untuk membawa perubahan ekonomi, terutama dalam memperbaiki sikap negatif penjual terhadap isu yang pengguna utamakan seperti halal-haram.   Secara kolektif, apabila dihimpunkan setiap ringgit yang dibelanjakan oleh pembeli dan pengguna ia merupakan himpunan kuasa ekonomi yang kuat untuk diguna dan ditujukan ke arah melindungi hak asasi dan kepentingan kelompok pengguna. 

Bina organisasi pengguna halal

Salah satu kaedah menggunakan kuasa undi ringgit dengan berkesan ialah dengan membeli secara berkumpulan atau “group buying”.  Pembelian berkumpulan banyak diamalkan di negara maju, juga kebelakangan ini dengan berkesan sekali di negara Republik Rakyat China, bertujuan membina organisasi pengguna secara kolektif lagi berkesan.   

Kaedah pembelian berkumpulan menghimpun kuasa ramai pembeli untuk mendapat diskaun harga menjimatkan perbelanjaan pengguna.  Kaedah ini, yang dipanggil “tuangou” oleh pembeli China berjaya membawa penjimatan besar setelah pengguna bersepakat untuk terlebih dahulu berunding harga diskaun dengan pihak penjual runcit atas dasar pembelian berkuantiti besar sebagai kumpulan.

Penggunaan komputer dan sesawang website memudahkan proses menghimpun jumlah besar pembeli, sekali pun dalam kumpulan yang tidak kenal-mengenali antara satu dengan lain.   Saya yakin kaedah sama boleh digunakan dengan berkesan oleh pembeli Melayu-Muslim, bukan sahaja untuk mendapat diskaun harga, malahan juga untuk mempastikan jaminan taraf halal sesuatu produk atau khidmat di pasaran.

Saya juga berpendapat kaedah menghimpun kuasa pembelian berkumpulan atau group buying ini boleh dikelolakan oleh organisasi seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia.  Selain itu, saya yakin di sini terdapat peluang bisnes untuk dikendalikan usahawan muda Muslim yang pandai IT memangkin himpunan pembeli untuk group buying.   

Selain menjadikannya satu kaedah bisnes untuk mendapat untung, usahawan IT Melayu terbabit dapat juga menyempurnakan fardu kifayah dalam menentukan hak asasi halal pengguna Muslim sentiasa terjaga dan tidak dikompromi.

Di negara China didapati website pembelian berkumpulan semakin popular dan kini menjadi antara pemain utama dalam bisnes penjual-belian atas talian atau online shopping.   Website seperti ini umumnya menawarkan “tawaran istimewa harian” atau “deal of the day”.   

Tawaran ini memberi peluang mendapat diskaun besar sebaik sahaja sejumlah minima pembeli didapati menerusi website, melayakkan semua pembeli menikmati diskaun yang dipersetujui terlebih awal bersama pihak peruncit atau retailer, termasuk di gedung-gedung besar.  Diskaun diperoleh menerusi baucer yang turut dikeluarkan menerusi website.  

“Buai laju-laju …”

Dalam kalangan masyarakat peniaga dan ahli bisnes canggih seperti di Amerika, kini terdapat organisasi memanfaatkan kaedah pembelian berkumpulan untuk faedah bisnes. Organisasi dipanggil “Group Purchasing Organisation” atau “GPO” semakin aktif setelah masyarakat peniaga dan PKS mendapati ia bermanfaat dan dapat menjimatkan kos besar. 

Bayangkan andainya semua restoran milik Melayu-Muslim dapat bersepakat menggunakan kaedah GPO.  Bukan sahaja mereka boleh mendapatkan manfaat penjimatan pembelian besar-besaran segala barangan kegunaan harian, malahan mereka sekaligus akan dapat menggunakan kuasa membeli untuk menentukan pembekal tidak bertolak ansur dalam menjamin hak asasi pengguna Muslim tentang halal-haram produk atau khidmat yang diniagakan.

Kesimpulannya, tiba masanya masyarakat pengguna dan juga masyarakat peniaga dan PKS Melayu-Muslim menggunakan kuasa “undi ringgit” yang ada pada mereka untuk manfaat penjimatan, selain menjamin manfaat halal, secara tersusun dan berorganisasi.   Lebih-lebih lagi kesempatan harus diambil oleh usahawan muda Melayu-Muslim bijak IT membina website komersil membolehkan sistem pembelian berkelompok atau GPO dikendalikan online dan dipopularkan dalam kalangan masyarakat, termasuk untuk manfaat bisnes.   

Tiba masanya juga pembeli dan pengguna Muslim bina persepakatan dalam semua urusan, memanfaatkan himpunan kuasa membeli antara mereka.   Perhatikan, inilah juga satu cara pengguna dan pembeli Melayu-Muslim akhirnya dapat memenuhi salah satu seruan Islam terhadap harta kekayaan: Iaitu, supaya harta kekayaan tidak dibiarkan berputar hanya di kalangan orang kaya sahaja dalam masyarakat. 

Tegasnya, sudah tiba masanya bangsa Melayu dan umat Islam Malaysia mengubah maksud pantun Melayu lama: “Buai laju-laju, sampai pokok sena, beli baju baru dari kedai sana…”    Cabaran hidup di abad ke 21 dan alaf baru menuntut pembeli dan pengguna Melayu-Muslim menggantikan pokok pantun sejarah budaya mereka kepada pembaharuan berikut: “Buai laju-laju sampai dekat pokok nangka; bila Melayu maju, wakaf, zakat perkasakan bangsa!”


Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden
Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)
ali.bizjihad@yahoo.com                                                                                                                                                                    




No comments: