Saturday, March 1, 2014

BR1M 2014: Fakta Yang Anda Perlu Tahu

Februari 27th, 2014 by Najib Razak

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) – sejak tahun pertama ia diperkenalkan – bertujuan untuk memberi bantuan terus kepada rakyat dalam menangani krisis kenaikkan kos sara hidup. Dan sekarang, sejurus selepas hampir dua bulan tirai 2014 dibuka, akujanji BR1M 2014 dilunaskan.
Pemberian BR1M 2014 juga jadi lebih bermakna apabila disulami dengan kejujuran yang ditunjukkan oleh lebih 17,000 penerima BR1M sebelum ini. Mereka merupakan individu yang telah secara sukarela memaklumkan kepada kerajaan bahawa mereka tidak lagi layak menerima bantuan, kerana telah melepasi julat pendapatan yang ditetapkan.

Contohnya, saudara Nurikram Bahari dari Parit Buntar, Perak yang menerima BR1M sejak tahun 2011 sewaktu beliau masih bujang. Kini, Nurikram telah berkeluarga dan pendapatan bulanan beliau dan isteri telahpun melebihi RM4,000 (had kelayakan menerima BR1M). Jadi, Nurikram merasakan bantuan tersebut seharusnya diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan.
Saya hargai ketelusan yang ditunjukkan oleh rakyat seperti Nurikram dan berharap ianya dicontohi, agar bantuan jadi lebih bersasar dan tepat.

Untuk sebilangan orang, saya akui bahawa jumlah BR1M ini tidak mencukupi. Namun bagi saudara Foo Kok Lim dari Taman Maluri, yang merupakan salah seorang penerima BR1M di Kampung Pandan Sabtu lepas, wang ini benar-benar membantu. Khususnya bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau stabil.



Kemakmuran ekonomi yang kita capai hari ini adalah hasil yang terbit dari usahasama kerajaan, swasta dan rakyat Malaysia. Prestasi ekonomi pada tahun lepas mencapai jangkaan, malah ada juga yang melangkaui jangkaan. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2013 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.7 peratus. Kadar defisit fiskal juga turun mendadak dari 6.7 peratus pada tahun 2009 kepada 3.9 peratus tahun lepas.

Inflasi juga terkawal di paras 2.1 peratus. Dari sudut pelaburan pula, pelaburan swasta telah meningkat dua kali ganda sejak 2009 – iaitu RM161.1 bilion untuk tahun 2013. Kita juga telah mencipta rekod baru tahun lepas: Pelaburan Langsung Asing (FDI) mencatat rekod tertinggi dalam tempoh lima tahun, yakni pada tahap RM38.7 bilion. Momentum ini harus kita kekalkan.

Walaupun kerajaan serius untuk mengekalkan kecemerlangan ekonomi, kebajikan rakyat sentiasa didahulukan. BR1M diberikan atas semangat untuk membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup dengan lebih efektif. Bantuan tunai ini bukan saja membantu golongan sasaran, ia turut membantu pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan. Jaringan kedai runcit di luar bandar turut menerima manfaat dari bantuan tunai ini. Malah, sektor swasta juga menyaksikan perkembangan 7.7 dan 7.6 peratus, masing-masing pada tahun 2012 dan 2013.

Itu pencapaian tahun lepas, tahun ini BR1M ditambahbaik dan ditingkatkan mutu. Urusan pembayaran dimudahkan apabila BR1M dideposit terus ke dalam akaun penerima. Pelunasan bayaran kali ini juga istimewa kerana ia dilindungi caruman insurans bernilai RM50 kepada penerima isi rumah.

BR1M 2014 dipayungi skim Takaful Kumpulan Insurans Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) yang memberi perlindungan minimum RM1,000 untuk kematian semula jadi dan maksimum RM30,000 sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan, atau hilang upaya kekal. Skim ini bakal melindungi lebih 5.9 juta penerima BR1M seluruh negara.

Langkah menyediakan perlindungan insurans ini bertujuan membantu penerima berdepan dengan situasi tidak diduga – sekaligus menyediakan jaringan keselamatan kewangan untuk meringankan beban rakyat.



Ternyata BR1M dan langkah-langkah rasionalisasi subsidi yang sedang kita laksanakan sekarang akan memberi lebih manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

Justeru, tindakan kerajaan mengurangkan subsidi petrol telah membawa lebih kesan positif secara keseluruhan, tidak seperti yang dicanang oleh pihak pembangkang. Firma penarafan antarabangsa Moody’s Ratings, misalnya, telah melonjakkan status Malaysia kepada positif pada awal Februari lalu, hasil penjimatan apabila subsidi petrol dikurangkan.

Pada tahun 2013, kita telah membelanjakan RM24.8 bilion untuk subsidi petrol semata. Subsidi petrol adalah subsidi pukal – di mana ia menguntungkan orang tanpa mengira tahap pendapatan atau status kehidupan. Subsidi pukal sebenarnya menjurus ke arah pembaziran dan ketirisan.



Sebagai contoh, mari kita bandingkan manfaat yang diterima oleh seorang pemilik kereta berkuasa rendah dengan seorang pemilik kereta mewah berkuasa tinggi. Dengan subsidi petrol RON95 sebanyak 63 sen bagi setiap liter, seorang pemilik kereta Kancil diandaikan membuat perjalanan sejauh 50 kilometer sehari, atau 350 kilometer seminggu. Beliau akan menggunakan 30 liter petrol seminggu atau 120 liter petrol sebulan. Maka, beliau hanya menikmati subsidi petrol sebanyak RM19 seminggu, RM76 sebulan dan RM900 setahun.

Kita bandingkan pula dengan pemilik sebuah kereta mewah berkapasiti enjin 2,500 cc, yang akan menggunakan sekurang-kurangnya 80 liter petrol seminggu atau 320 liter petrol sebulan. Jumlah subsidi yang dinikmati adalah sebanyak RM50 seminggu atau RM200 sebulan. Dalam setahun individu tersebut akan menikmati subsidi berjumlah RM2,400, jauh lebih banyak daripada pemilik kereta Kancil yang lebih layak menerima subsidi.

Jelaslah bahawa struktur subsidi petrol sedia ada lebih menguntungkan golongan berkemampuan, termasuk pelancong-pelancong luar dan warga asing. Didorong faktor ini, Kerajaan sedang mengambil langkah terbaik agar subsidi yang diberikan benar-benar memberi impak kepada golongan bersasar.

Di atas paksi kesedaran yang serupa, kerajaan mengambil langkah proaktif untuk memastikan rakyat dapat menikmati kemakmuran ekonomi dengan adil lagi saksama. Hasil penjimatan dari pengurangan subsidi pukal ini, kerajaan sekarang mampu meningkatkan jumlah pembayaran BR1M. Dengan izin Allah, pembayaran BR1M akan kita tingkatkan sehingga RM1,200 dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kerajaan akan terus mencari formula terbaik demi menjaga ekonomi negara daripada terjebak dalam krisis ekonomi dunia yang tidak menentu. Pada masa yang sama, kesejahteraan rakyat – terutama golongan yang benar-benar memerlukannya – akan terus diutamakan dalam perjuangan kerajaan Barisan Nasional.

Namun begitu, ini bukanlah bermakna kerajaan mengabaikan golongan berpendapatan sederhana. Sebahagian daripada langkah-langkah yang telah saya bentangkan dalam Bajet 2014, Oktober lalu, bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan sederhana. Ini termasuklah penyelarasan dan perlepasan cukai, rebat, inisiatif-inisiatif pemilikan rumah sendiri, pengkajian semula Cukai Keuntungan Harta Tanah dan sebagainya. Semua ini akan saya garapkan semula dalam blog yang akan datang, Insya-Allah.


Sesungguhnya saya tidak mampu mengekalkan prestasi cemerlang ekonomi negara sendirian. Negara memerlukan bantuan dan sokongan anda semua untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 kelak.

No comments: