Friday, April 4, 2014

APA TERJADI PADA PELAN INDUK WAKAF

April 1, 2014 at 9:06am
Artikel Tan Sri Muhammad Ali di SINAR HARIAN, kolum “KHALIFAH BISNES’ bertarikh 31 Mac 2014.

Minggu lalu di bawah tajuk “Umat Islam lebih Barat daripada Barat”, saya melahirkan rasa bimbang terhadap trend keterlaluan umat Islam menciplak model ekonomi Barat, terutama kapitalisme liberal merosakkan.  Trend ini dilihat semakin berleluasa seperti disaksikan di sekitar kota ikon Islam Makkah yang sedang pesat dibangunkan semula.  Dominasi hotel mewah bertaraf dunia berjenama Barat dan kompleks beli-belah menawarkan barangan berjenama mahal serta makanan segera berjenama global membawa banyak persoalan.



Namun pada akhirnya saya masih optimis setelah melihat beberapa pembangunan ikon Islamik dimajukan di Makkah yang berpotensi mengubah dan memperbaiki masa depan umat Islam. Ikon Islamik paling hebat ialah Kompleks Menara Zamzam yang mendominasi suasana sekitar Kaabah Baitullah.   Ia satu binaan yang mangagumkan, terutama kerana seluruh kompleks ini dibangunkan berlandaskan institusi wakaf, iaitu “Waqaf Raja Abdulaziz al Haramin al Sharifin.”



Wakaf pemacu pertumbuhan ekonomi



Setelah kembali ke tanah air, saya berkesempatan menyertai hari kedua sidang Mejabulat Ke 5 mengenai wakaf anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bersama Pusat Kajian Islam Oxford (OCIS) yang diadakan di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur.  Sidang Mejabulat dihadiri beberapa para intelek, profesional dan barisan pemimpin institusi ekonomi serta perbankan Islam terkenal, termasuk di peringkat antarabangsa.



Perasmian Mejabulat disempurnakan Raja Dr Nazrin Shah, Pemangku Raja Perak, juga selaku Duta Kewangan Malaysia di Pusat Kewangan Islam Antarabangsa.  Memandangkan tema Mejabulat Ke 5 tertumpu kepada institusi wakaf, titah perasmian Raja Dr Nazrin fokus kepada tajuk bagaimana wakaf boleh menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi bertujuan membawa impak besar terhadap pembangunan ekonomi, sosial dan kewangan sesebuah negara.



Sekali pun tidak berkesempatan menghadiri majlis perasmian, saya percaya teks titah perasmian wajar mendapat perhatian masyarakat.  Paling menarik perhatian saya, dalam menegaskan pentingnya peranan institusi wakaf, Raja Dr Nazrin Shah turut menonjolkan Kompleks Menara Zamzam sebagai contoh kejayaan penggemblengan kemudahan kewangan Islam memajukan harta wakaf untuk manfaat umat Islam khasnya.   Kompleks Menara Zamzam salah satu contoh terbaik kaedah mengkorporatkan aset wakaf dengan menggembleng wang dan modal pasaran kewangan menerusi pengeluaran Sukuk al Intifa’a atau “timeshare bonds”.



Justeru, adalah tepat sekali apabila Raja Dr Nazrin Shah menggesa supaya diubah persepsi sebahagian masyarakat yang melihat aset wakaf hanya dari perspektif agama semata-mata dan memeperluaskannya menjadi institusi relevan untuk pertumbuhan ekonomi semasa.



Meningkatkan produktiviti aset wakaf



Raja Dr Nazrin Shah menyatakan sejarah Islam kaya dengan contoh penggunaan wakaf yang sangat luas.  Selain untuk tujuan kebajikan, wakaf di zaman pemerintahan Khalifah Osmaniah berperanan penting memajukan kemudahan infrastruktur, terutama ketika pengembangan wilayah pemerintahan Islam ke Eropah.   Dalam pembangunan pendidikan pula, Universiti Al Azhar di Mesir terkenal selama lebih 800 tahun berkembang berdasarkan pembiayaan sumber wakaf.   Raja Dr Nazrin juga menyebut Hospital Kanak-kanak Shishli di Istanbul, Turkey, sebagai model wakaf ditubuhkan khas untuk tujuan kesihatan.



Saya yakin semua peserta Mejabulat bersetuju penuh dengan pandangan Raja Dr Nazrin Shah bahawa tiba masanya negara Islam memanfaatkan sepenuhnya institusi wakaf dan berusaha mengintegrasikan wakaf dalam bentuk baharu ke dalam proses pembangunan ekonomi negara masing-masing. 

Perbincangan Mejabulat juga memberi keyakinan manfaat institusi wakaf relevan bukan sahaja kepada pembangunan negara majoriti Islam, malahan juga untuk negara minoriti Islam, seperti di India, Britain, Singapura dan seumpamanya.  Turut menarik perhatian ialah kaedah digunakan dalam beberapa kes untuk menentukan manfaat wakaf tidak eksklusif hanya kepada umat Islam.  Jelas sekali institusi wakaf mampu distruktur dan disusun sebegitu rupa supaya semua warganegara, termasuk bukan Muslim, dapat menikmati hasil manfaatnya.

Saya juga yakin peserta Mejabulat menerima hakikat sektor wakaf, setelah dibangunkan secara berkesan dan produktif, berupaya menyumbang kepada penjimatan besar perbelanjaan kerajaan.  Penjimatan boleh berlaku apabila sektor wakaf berjaya memberi khidmat kebajikan masyarakat secara menyeluruh, terutama menyediakan jaringan keselamatan sosial atau social safety nettanpa membebankan kewangan kerajaan.

Justeru, sidang Mejabulat bersetuju sepenuhnya dengan penegasan Raja Dr Nazrin Shah bahawa sistem wakaf yang tersusun kukuh dan teratur boleh membawa impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi iaitu KDNK, juga pembangunan sosial sesebuah negara, selain mengesani dan memperkaya sekitaran industri kewangan.

Kekangan prestasi wakaf

Namun, untuk sampai ke tahap tersebut, beberapa kekangan dikenalpasti.  Selain disebut dalam titah perasmian, beberapa cabaran dan kekangan turut dibincang dengan panjang lebar dalam persidangan.  Seluruh Mejabulat bersetuju supaya semua kekangan segera diatasi pihak berwajib sebelum wakaf boleh diharapkan berperanan sebagai pemacu ekonomi.

Antara kekangan paling besar ialah kelemahan pada infrastruktur perundangan.  Sistem dan sekitaran perundangan kompleks seperti di Malaysia mendapat perhatian.  Peraturan dan prosedur penubuhan wakaf dan monopoli kuasa mengurus dan mengandalikan aset wakaf, iaitu status mutawalli, turut menjadi isu perbincangan.  Jelas sekali pembaharuan menyeluruh diperlukan sebelum wakaf dapat berperanan memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Tindakan mengintegrasikan sepenuhnya institusi wakaf ke dalam sistem perundangan seperti diamalkan di Singapura turut menarik perhatian.   Pengalaman ini boleh dicontohi untuk mengatasi masalah berbangkit daripada campur-adukan perundangan konvesional dengan perundangan Islam yang menjadikan penguatkuasaan turut menjadi kompleks dan bermasalah.

Peruntukan undang-undang mengenai kuasa mengurus dan memegang amanah mutawalli juga wajar dikaji semula.  Untuk menjayakan Waqaf Korporat khasnya, terdapat pandangan penguasa wakaf harus berani menurunkan atau menyerahkan kuasa mutawalli kepada badan pengurusan profesional atau organisasi korporat yang diiktiraf khas untuk tujuan itu, tertakluk kepada kawalan dan pemantauan muktamad penguasa wakaf terbabit.

Demikian juga kelemahan berpunca daripada kerendahan upaya mengurus dan mentadbir aset wakaf yang sejauh ini rata-rata gagal dilakukan penuh berkesan oleh pihak penguasa wakaf.   Kelemahan dari sudut ini dilihat banyak mengakibatkan rendahnya pulangan dan terjejasnya penambahan nilai aset wakaf yang merugikan, selain banyak mengakibatkan pembaziran aset, sekali gus membantut penyempurnaan sepenuhnya niat pewakaf ketika mewakafkan harta. 

Kelemahan pengurusan harta wakaf juga dikatakan salah satu sebab utama kenapa ramai umat Islam hari ini tidak berminat mewakafkan harta, sekali pun mereka sedar betapa besar ganjaran pahala berwakaf dan berinfak di sisi agama.

Kesimpulannya, tiba masanya dunia Islam, dan Malaysia khasnya, tidak lagi ragu-ragu memberi perhatian serius terhadap usaha mengintegrasikan sepenuhnya wakaf ke dalam proses pembangunan.  Dengan cara ini, sistem ekonomi negara dapat ditransformasi dan disusun semula supaya berupaya bertumbuh dan berkembang mengikut kaedah lebih adil dan saksama.

Dalam satu pembentangan di sidang Mejabulat, saya berkongsi pengalaman penubuhan Waqaf Korporat di Malaysia, iaitu Waqaf An Nur Corporation Bhd pada 2006, yang nilai asetnya kini melebihi RM500 juta.    Antara lain, saya tegaskan perlunya segera dirancang pembinaan critical mass wakaf korporat Malaysia untuk mengintegrasikan prinsip ‘adil langsung ke dalam sistem ekonomi negara.

Titah perasmian Raja Dr Nazrin Shah turut menyatakan hasrat kerajaan Malaysia melancarkan Pelan Induk Korporat Wakaf seperti diumumkan dalam ucapan Bajet 2013 Perdana Menteri.  Persoalan yang berbangkit: Sejauh mana pelaksanaan Pelan Induk ini?   Sesungguhnya rakyat Malaysia menaruh harapan sangat tinggi terhadap institusi wakaf, khasnya Waqaf Korporat, membentuk satu sistem ekonomi lebih adil melindungi kepentingan jangka panjang rakyat majoriti berpendapatan rendah dan sederhana daripada terus dipinggir dan diketepikan.

Tan Sri Muhammad Ali Hashim

Presiden, Dewan Perdagangan ISlam Malaysia (DPIM)

ali.bizjihad@yahoo.com

No comments: